Friday, September 8, 2017

Salam Aidiladha

Bismillahirrahman nirrahim

Selamat menyambut Aidiladha. Mengambil pengajaran dari kisah Nabi Ibrahim a.s. , pengorbanan itu adalah sesuatu yang indah kerna setiap pengorbanan akan ditebus bayar dengan sesuatu yang lebih baik. Dan ujian harta dan anak adalah sesuatu yang manusia akan mudah tergelincir saat mempertahankannya.

Pada hari mulia ini, pengalaman pertama penulis tidak dapat bersama keluarga di pagi raya. Atas tugas yang perlu dilakukan, terpaksa berada di luar permaustatin. Alhamdulillah, di beri kesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha. Selesai solat, tanpa rendang dan juadah pagi, penulis meneguk air mineral yang diberikan pegawai masjid. Perlahan-lahan menghampiri kaunter pegawai keselamatan yang turut bertugas pada pagi raya. Sedang asyik berbual, datang sosok lelaki berbangsa Tiong Hua menghampiri kaunter, penulis menyangkakan beliau adalah pelancong kerana masjid besar berkubah biru ini sememangnya selalu dibanjiri pelancong luar.

Tiba - tiba dia menyapa pengawal keselamatan, mengatakan dia muallaf dan ingin berjumpa seseorang yang berpangkat di sini. Sakit katanya. Sambil menunjukkan athma inhaler yang telah kosong. Beliau merayu minta dipertemukan, katanya zakat disekat kerana pegawai di daerahnya memaklumkan dia tidak peroleh bantuan kerana banyak meninggalkan kelas. Allahu akbar. Tamparan hebat  juga bila ada birokrasi dalam institusi agama ni. Beliau mula mengeluarkan segala isi beg nya, dari kad, sijil, surat dan segala bukti mengatakan bahawa beliau sudah Islam. Benarlah, orang Islam akan Islam, jika kad pengenalannya Islam. Dakyah yang salah,sehingga saudara baru beranggapan begitu. Sedangkan kalimah syahadah, dan keikhlasan itu penting untuk menjadi Muslim. Oh sistem. Puas beliau merayu, penulis sempat melihat nama nya pada kad, Kamal Kok B. Abdullah nama nya; Uncle Kamal terus duduk sambil menunjukkan muka kekecewaan. Muka nya merah, timbul merah kerana kulit putih Cina menampakkan lagi kekecewaan yang tinggi. Apa mampu buat. Penulis dan pengawal keselamatan saling berpandangan, pengawal sempat menghulurkan nasi lemak untuk beliau bersarapan. Sebak melihat nasib beliau. Dalam usia 63 tahun, Allah sahaja yang tahu nasib beliau. Semoga beliau cekal dan kekal mempertahankan kalimah syahadah sehingga akhir hayat. Penulis sangat bersimpati, sebelum meninggalkan beliau, penulis bersalaman dang meninggalkan sekeping not hijau gelap buat membantu beliau sambil melangkah pergi. Penulis pergi sambil bertubi-tubi memikirkan dan mengenangkan nasib-nasib muallaf dan faqir di luar sana. Adakah mereka terbela, ada di sia2. Semoga sistem kekhalifan tertegak utuh dan memenuhi rahmat di bumi Malaysia ini.

Akhir sekali, penulis memperoleh pengajaran yang besar. Pengorbanan itu sudah dijanjikan, manusia hanya perlu melaksanakan dengan keikhlasan. Setiap dari insan, mempunyai berbeza beza kesulitan dan pengorbanan kepada Allah adalah yang lebih utama.

Semoga pak cik Kamal Kok diberi kesihatan berpanjangan dan di rahmati ALLAH. Amen.

No comments:

Post a Comment

KOMEN-KOMEN LA